suka dukaku menjadi seorang isteri dan guru...menghadapi karenah duniawi dan cabarn yang harus ku tempuhi...

Tuesday, May 11, 2010

aku ngan puasa nazar



masa tingkatan tiga dahulu, aku pernah niat berpuasa nazar 10 hari jikalau aku dapat 8 A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Alhamdullillah aku berjaya dapat 8A, mmg aku gembira sangat masa dapat keputusan tu, sebabnya masa percubaan PMR aku hanya dapat 1A aje...

masa aku dapat pekerjaan sebagai guru pada tahun 2008 setelah 2 tahun menganggur aku telah puasa nazar selama 30 hari sekiranya aku berjaya mendapat sebarang pekerjaan...masa tu perit sangat sebab tak dapat sebarang pekerjaan tetap...masa ni dugaan begitu hebat dan tegar sekali...kepada Allah saje aku bermohon, masa ni tiada rakan yang menghubungi hanya mak , abah dan adik-adik yang bagi semangat.. keluarga yang lain dan jiran-jiran hanya memerli kerana tingkah mereka pelajar lulusan Ijazah seharusnya sudah bekerja bukannya menunggu nasib...

dan hari ni aku sedang berpuasa nazar selama tiga hari kerana aku berjaya melaksanakan praktikum mengajar selama 3 bulan dari 8 februari - 7 mei 2010... kenapa aku puasa nazar? apa hikmahnya menjalankan puasa nazar?

mari kiter selidiki....

Pengertian nazar menurut istilahnya secara mudah ialah mewajibkan diri sendiri melakukan sesuatu amalan dengan niat mendampingi diri pada Allah. Sebagai contoh, seseorang berkata: Jika Allah menyembuhkan saya daripada penyakit ini, nescaya saya akan berpuasa sebanyak tiga hari dan sebagainya. Nazar ini wajib disempurnakan sebaik sahaja ia sembuh daripada penyakitnya itu. Nazar dari segi amalan dan penghayatannya terbahagi tiga, iaitu:

1. Nazar melakukan kebajikan, misalnya ia berkata: Jika saya memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan, saya akan berpuasa sebulan dan sebagainya atau jika saya beroleh anak lelaki, saya akan membina sebuah masjid.

2. Nazar melakukan sesuatu yang diharuskan, misalnya ia berkata: Jika saya disembuhkan daripada penyakit ini, saya akan melancong ke luar negara dan sebagainya.

3. Nazar melakukan maksiat, misalnya ia berkata: Jika saya mendapat bonus pada tahun ini, saya akan tinggalkan sembahyang atau menajakan suatu perjudian (barang dijauhi Allah).

Nazar terjadi dan dikira sah sama ada bersyarat, misalnya seseorang berkata: Jika perniagaan saya mendapat untung, saya akan bina sebuah rumah kediaman anak yatim; atau nazar tanpa syarat, misalnya ia berkata: Demi Allah saya akan menamatkan al-Quran sebanyak tiga kali dalam bulan Ramadan pada tahun ini.

Nazar saudara seperti dalam soalan di atas termasuk dalam bahagian nazar melakukan amal kebajikan dan bersyarat. Oleh itu, saudara hendaklah menyempurnakannya sebaik sahaja hajat tercapai. Allah mewajibkan setiap orang yang bernazar dengan betul supaya menyempurnakannya. Firman Allah yang bermaksud: Hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya (al-Haj: ayat 11).

Allah juga memuji-muji hamba-Nya yang sedia menyempurnakan nazar, iaitu menerusi firman-Nya: Mereka dikurniakan kesenangan itu, kerana mereka menyempurnakan nazar serta takutkan hari akhirat yang azab seksanya menyeluruh di sana sini (al-Insan: 7). Allah mengutuk keras orang munafik yang hanya bernazar tetapi gagal menyempurnakannya. Keterangan mengenai mereka boleh diikuti menerusi ayat-ayat 75-77 dalam surah al-Taubah.

Dalam kesempatan ini, aku ingin jelaskan dua perkara yang sepatutnya difahami saudara dan rakan-rakan yang ingin bernazar, iaitu:

Pertama: nazar bersyarat atau nazar mewajibkan diri sendiri melakukan sesuatu amal kebajikan yang dikaitkan dengan sesuatu kejayaan, hukumnya makruh menurut pendapat kebanyakan ulama, sekalipun nazar itu berupa ibadat seperti puasa, solat, sedekah dan lain-lain. Ini kerana hadis riwayat Bukhari bilangan 6608, Muslim 4/1640 dan lain-lain daripada Ibn Umar (r.a) katanya yang bermaksud:

Nabi (s.a.w.) melarang daripada bernazar, kerana ia tidak boleh mengubah apa-apa, ia hanya biasa dilakukan orang yang bakhil berbuat kebajikan.

Hikmat yang tersirat di sebalik hukum makruh ini ialah kerana bimbang nanti orang mempercayai nazar itu mengubah takdir yang bakal menimpa seseorang, atau nanti ada orang menyangka bahawa nazar itu menentukan kejayaan baginya, atau disangkakan Allah memberi kejayaan itu semata-mata kerana nazarnya. Justeru, hadis menyatakan: Nazar tidak mengubah sesuatu atau tidak mendatangkan apa-apa hasil yang baru.


Sesuatu kebajikan yang menjadi wajib disebabkan nazar memang pun kurang menarik, kerana seolah-olah ada kepentingan peribadi di sebaliknya. Keadaannya samalah dengan sedekah yang dikeluarkan oleh seorang yang bakhil, ia sanggup menunaikan suatu sedekah, jika dilihatnya ada pulangan kebendaan yang menguntungkan. Sebaliknya jika tiada pulangan, nescaya tiada sedekah yang sanggup dikeluarkan. Inilah maksud sabda: Nazar hanya dilakukan orang yang bakhil berbuat kebajikan.

Antara hikmat mengapa nazar bersyarat itu hukumnya makruh ialah kerana ada unsur paksaan padanya. Kemungkinan besar seseorang tidak melakukan ibadat yang dinazar itu, jika tidak kerana dipaksa oleh nazarnya. Ia menunaikan ibadat itu tidak lagi dengan rela hati dan penuh pengabdian diri kepada Allah, tetapi kerana dipaksa dan tiada pilihan lain di hadapannya. Mungkin pada masa-masa hadapan ia tidak bernazar lagi kerana takutkan akibatnya.

Meskipun ulama menyatakan bernazar itu hukumnya makruh, bagi seseorang yang telah bernazar atau terlepas cakap yang mewajibkan dirinya melakukan sesuatu kebajikan, hendaklah dia menyempurnakannya kerana menjadi kewajipan baginya menyempurnakan sesuatu yang dinazarkan. Ayat-ayat al-Quran jelas menyatakan kewajipan itu, seperti yang dikemukakan terdahulu.

Kedua: Kedudukan nazar yang sebenarnya ialah mendampingi diri pada Allah dengan ibadat-ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, sedekah dan sebagainya. Saudara telah bernazar dengan betul apabila ingin mendampingi diri kepada Allah dengan berpuasa jika mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Sesetengah orang bernazar membotakkan kepala, meminum arak atau ingin bersuka ria, jika tercapai sesuatu hajat yang dikehendaki. Nazar ini bertentangan dengan cara nazar yang sepatutnya dilakukan. Sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud menyatakan: Tiada nazar kecuali pada amalan yang dituntut keredhaan Allah padanya.

Namun jika seorang bernazar untuk berbuat dosa seperti minum arak, tinggal sembahyang dan sebagainya, tidak harus baginya menyempurnakan nazar itu, sebaliknya hendaklah dia membayar kaffarah sumpah, iaitu memilih antara tiga perkara, sama ada memberi makan 10 orang miskin, memberi pakaian atau memerdekakan hamba. Jika ia gagal melaksanakan salah satu antara tiga pilihan itu, hendaklah dia berpuasa tiga hari dengan niat membayar kaffarah sumpah.

Makanan yang dimaksudkan ialah bahan-bahan makanan yang sederhana dan mengenyangkan, atau pakaian yang terdiri daripada sarung atau seluar, baju dan penutup kepala yang biasa dipakai, sama ada lelaki atau perempuan, atau membebaskan hamba jika masih wujud sistem perhambaan.

Jika seseorang bernazar melakukan sesuatu yang harus, misalnya ia berkata: Jika anak saya kahwin, saya akan melakukan perarakan 10 ekor gajah. Orang ini harus melakukan perarakan seperti yang dinazarkan atau harus juga menggantikannya dengan membayar kaffarah sumpah seperti yang disebutkan di atas. Saya berpendapat, jika ia memilih untuk membebaskan diri dengan membayar kaffarah sumpah, nescaya lebih berfaedah bagi diri dan masyarakatnya.



1 comment:

  1. Hmm...aku tak tunaikan lagi nazar aku..huhu. hopefully ada rezeki lebih bulan ni, aku akan tunaikan, insyallah.

    ReplyDelete